Fatimah bint Al-Khattab |
Tatkala sirah mengenai surah Taha dilipurkan, waktu itu lah kita akan mengenang kisah Fatimah Al-Khattab. Seolah-olah ada suatu hubungan kimia antara surah Taha yang dibacakan, dengan kisah keberanian Fatimah Al-Khattab – maka seindah itu lah kita mengenang hikayat pengislaman Umar Al-Khattab yang keislamannya menjadi perisai, sehingga disifatkan oleh Abdullah ibn Mas’ud sebagai :
“Kami senantiasa berada dalam kejayaan semenjak Umar bin Khattab masuk Islam.”
Fatimah Al-Khattab adalah wanita yang berjiwa bersih, selamat dari sebarang jahiliyyah semasa. Dengan izin Allah s.w.t, Fatimah yang ketika itu telah memeluk Islam, telah disatukan dengan Sa’eed bin Zaid – seorang sahabat yang hebat, juga bersih jiwanya. Maka perkahwinan mereka ketika itu, berhasil mewujudkan sebuah lagi rumah dakwah yang menjadi batu asas kepada pembinaan Islam dalam kalangan masyarakat Quraish.
Oleh sebab saat itu adalah saat yang agak genting bagi pengikut agama Muhammad s.a.w, maka kebanyakan para sahabat diminta merahsiakan aktiviti dan juga keislaman mereka sendiri dari pengetahuan puak kafir Quraisy. Salah satunya, adalah rumah yang didiami Fatimah bint Al-Khattab dan Sa’eed.
Khabbab ibn Al-Arat, yang diriwayatkan telah menjadi naqib kepada Fatimah dan Sa’eed, akan mendatangi rumah mereka secara senyap-senyap untuk mengajarkan mereka bacaan al-Quran. Quran yang pada masa itu masih lagi dalam berbentuk lembaran, diajarkan satu persatu kepada Fatimah, dalam keadaan abangnya, ‘Umar, belum mengetahui keislaman beliau.
Ditakdirkan suatu hari, Umar Al-Khattab berhajat untuk membunuh Muhammad s.a.w, pembawa ajaran baru di Tanah Arab yang menjadi perbualan hangat masyarakat setempat. Dengan mengheret pedangnya yang berat, dia mengusung perasaan marah dan benci terhadap Baginda s.a.w sebelum ditegur oleh beberapa orang Quraish di jalanan. Mereka mencela Umar, daripada hendak membunuh Muhammad s.a.w, lebih baik lah dia uruskan dahulu adik perempuannya yang telah menjadi pengikut Muhammad.
Umar terkejut. Tak buang masa lagi, dia menghampiri rumah Fatimah Al-Khattab yang kebetulan pada masa itu.. Fatimah sedang membacakan ayat suci Al-Quran. Dihentaknya pintu, dan ditanyakan kepada Fatimah, apakah bunyi bacaan yang didengarinya dari luar tadi?
Kelam kabut juga Fatimah, Sa’eed dan Khabbab menyorokkan lembaran al-Quran, agar tak diketahui Umar. Benar lah bagai dikata orang sekeliling, abangnya pembenci Islam..tapi adik sendiri sudah menjadi pengikut tegar Islam. Sedikit pertelingkahan antara Umar dan Khabbab telah berlaku, dan akhirnya dengan keberanian seorang wanita, Fatimah tampil menghadang Umar dari terus menyakiti suaminya. Fatimah telah ditampar oleh Umar sehingga berdarah.
Peristiwa itu telah membuatkan Umar yang keras hati, terdiam. Hidayah Allah telah tiba di hati Umar. Dan Fatimah adalah sebabnya. Andai Fatimah hari itu tak diteguhkan hati untuk menghadapi Umar, manakan cerita kehebatan Islam hari ini akan didengari.
Setelah membersihkan diri dan diajarkan syahadah, Umar Al-Khattab lah yang menjadi pembela paling kuat agama Islam. Jasa Fatimah Al-Khattab tak selayaknya dilupakan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar